Friday, 27 June 2014

Buah kiwi kaya vitamin


Memakan sebiji atau dua buah kiwi sehari sudah mencukupi. Ini kerana ia kaya dengan mineral dan potasium diperlukan tubuh bagi membina dan menguatkan sistem badan.


Buah kiwi tidak berakar umbi di New Zealand dan tidak dikenali dengan nama kiwi. Malah, pohonnya berasal dari China, di mana ia dipanggil Yang Tao atau Chinese Gooseberry.


Tertarik dengan gabungan rasa manis tetapi kelat buah eksotik itu, guru dari Waitangi, New Zealand, Isabel Fraser membawa bijinya dari China apabila pulang ke tanah airnya pada 1904.


Di tanah New Zealand, pakar hortikultur, Alexander Allison menanam bijinya dan ia bukan setakat buah kiwi pertama di New Zealand tetapi menandakan permulaan baru.



Bermula daripada itu, penduduk New Zealand menamakan buah itu bersempena burung kebangsaan mereka — burung kecil yang berbulu halus iaitu kiwi.

Menyedari hakikat itu, pada tahun berikutnya industri itu berkembang apabila usahawan tani buah kiwi berganding bahu menjual hasil tanaman mereka di seberang laut.


Pada 1970-an, Lembaga Pemasaran Buah Kiwi dibentuk yang kemudian menjadi ZESPRI™ International Limited pada 1997, sebuah organisasi pemasaran sedunia.

Pada masa itu juga jenama buah Kiwi ZESPRI™ lahir dengan komitmen untuk menanam dan menjual buah kiwi terbaik dan komitmen itu masih tidak berubah hingga kini.


ZESPRI™ International Limited ialah pemasar kiwi terbesar di dunia apabila menjual kiwi ke lebih 60 negara.



Pengurus Sains Kesihatan Zespri International Limited, Lynley Drummond berkata, pemakanan mempunyai peranan besar terhadap kesihatan badan dan berikutan itu badan kesihatan di seluruh dunia mendorong orang ramai makan lebih banyak buahan dan sayuran kerana kandungannya padat dengan zat nutrien.



Beliau berkata, buah kiwi sama ada warna hijau dan emas ialah sumber baik untuk serat makanan, vitamin C, potasium, asid folik, vitamin E, karotenoid dan antioksidan. Ia juga mempunyai kandungan indeks glikaemik dan lemak yang rendah dan sesuai dimakan sebiji sehari.



Selain kandungan vitamin C yang tinggi, buah kiwi juga mempunyai vitamin A dan E. Vitamin C diketahui umum sebagai vitamin diperlukan badan dan juga antioksidan yang larut air kerana ia penting untuk melindungi badan daripada bendasing serta melindungi badan daripada serangan jantung, kanser dan obesiti.



Vitamin E pula penting sebagai elemen antioksida dan ia diperlukan untuk melindungi kulit daripada sinaran ultra lembayung, pencemaran, dadah dan unsur asing yang boleh merosakkan sel kulit. Buah kiwi mempunyai vitamin E yang menyamai vitamin C.



Selain itu, buah kiwi mempunyai serat tinggi untuk mengawal kandungan gula dalam darah dan menghindari kanser kolon dengan mengeluarkan toksin daripada kolon dan menyahkannya melalui sistem perkumuhan.



Serat ini mengurangkan kandungan kolesterol, meningkatkan fungsi jantung dan meminimumkan serangan jantung.



“Menurut kajian, kiwi Zespri dapat meningkatkan sistem ketahanan tubuh, meningkatkan pencernaan dan prestasi otot selain kerosakan sel.



“Penelitian terbaru itu sebahagian daripada program ilmu Zespri bagi menunjukkan manfaat kesihatan buah kiwi di samping menyokong kajian terdahulu yang menunjukkan kiwi boleh membantu menguatkan pertahanan alami untuk perlindungan seharian,” katanya.



Beliau berkata, kajian mendapati buah kiwi dapat meningkatkan tahap imunisasi semula jadi dalam badan selain bertindak balas dengan cepat terhadap selesema dan penyakit lain.



Selain itu, buah kiwi sarat dengan ‘phytonutrient’ yang baik untuk kesihatan kerana menghasilkan ‘polyphenol’ sebagai antioksidan dalam tubuh, enzim untuk pencernaan dan karotin yang bermanfaat sebagai antioksidan selain kesihatan mata.

Fakta menakjubkan mengenai kiwi serta khasiatnya:
1. Padat nutrisi – lebih banyak vitamin dan mineral untuk setiap gram dan setiap kalori dalam sebiji kiwi berbanding buah-buahan lain
2. Vitamin C — Walaupun orang selalu mengaitkan vitamin C dengan buah oren, mereka seharusnya memikirkan buah kiwi kerana ia mempunyai dua kali ganda vitamin C berbanding oren
3. Kandungan tinggi khasiat lain dalam buah kiwi berbanding buah-buahan lain: l Vitamin E — jarang sekali makanan rendah lemak, terutama buah, boleh menjadi sumber vitamin E (dikenali sebagai vitamin yang kaya dengan kebaikan untuk kesihatan jantung dan antioksidan) tetapi buah kiwi ialah sumber vitamin E rendah lemak semula jadi
| Asid folik — diperlukan untuk menghalang kecacatan neural di kalangan bayi
| Potasium — Ia mempunyai tahap hampir sama dengan pisang, berpotensi memberi manfaat di dalam penjagaan tekanan darah dan kesihatan jantung
4. Buah kiwi sumber yang baik untuk lutein karotenoid — Buah kiwi bukan saja mempunyai kandungan konsentrasi tertinggi lutein di kalangan buahan tetapi lutein daripada buah kiwi terbukti jauh lebih dibioakses (lebih baik daripada sayur-sayuran), membantu masalah penglihatan yang berkait dengan usia tua

5. Buah kiwi tinggi kaya antioksidan (contohnya, polifenol, karotenoid) dan bahan fitokimia yang berfaedah, termasuk enzim unik lain
6. Buah kiwi berupaya mempertingkat fungsi sistem daya tahan anda — perlindungan semula jadi yang membantu anda melawan kesan stres, inflamasi dan serangan bakteria serta virus
7. Memakan hanya dua biji buah kiwi sehari terbukti membantu mengurangkan kadar kerosakan oksidatif terhadap sel anda dan memperbaiki DNA rosak disebabkan tekanan oksidatif. Ini dibuktikan dalam kajian di New Zealand dan Eropah
8. Mengambil buah kiwi ketika makan boleh mengurangkan tekanan oksidatif ke atas badan selepas makan, terutama makanan tinggi lemak. Penyelidikan di Amerika Syarikat menunjukkan orang yang mengambil kiwi ketika atau sesudah makan menunjukkan penurunan petanda tekanan oksidatif
9. Hanya dua hingga tiga buah kiwi sehari mampu mengurangkan agregasi platelet darah — Agregasi platelet ialah faktor risiko yang diketahui untuk penyakit kardiovaskular. Ia menyebabkan penyumbatan arteri dan salur pembuluh darah
10. Buah kiwi sesuai dimakan untuk mengurangkan rasa kembung dan tersumbat — Diiktiraf sebagai pembantu pencernaan semula jadi, ini ialah gabungan unik serat makanan dan komponen lain dalam buah kiwi
11. Vitamin dan mineral — Makan kiwi dengan kerap ialah satu cara mudah mendapatkan nutrien penting untuk badan anda, yang boleh membantu anda berasa lebih sihat dan menikmati usia lebih panjang
12. Tenaga makanan (kalori) — Jika mahu menjaga badan, buah Kiwi Zespri seharusnya menjadi pilihan anda. Ia bukan saja padat dengan khasiat nutrien, tetapi rendah lemak secara semula jadi dan mempunyai kadar indeks glikaemik (GI) rendah. Sebiji kiwi mengandungi 60 kalori dan memakan dua buah kiwi bersaiz sederhana membekalkan anda pelbagai nutrien yang diperlukan untuk gizi pemakanan sihat
Menurut Drummmond, kiwi mudah dimakan, iaitu hanya belah dua dan ceduk dengan sudu untuk menikmati khasiat sebenar buah berkenaan.
Jika tidak gemar, ia boleh dijadikan minuman seperti ‘smoothie’ (minuman hasil adunan dadih dan buahan lain), jus, minuman tenusu dan teh pekat.
Selain itu, katanya, kiwi boleh dijadikan dadih, aiskrim, pencuci mulut, serbat, kek, gula-gula dan apa saja makanan. Sebenarnya, banyak hidangan boleh dibuat menggunakan buah kiwi.

Hidayah Mohamad
Shaklee Independent Distributor
Shaklee ID : 889076
HP : 019-983 5090
Email : hidayahmohamad83@gmail.com
Post a Comment