Friday, 9 May 2014

10 tips ibu hamil selesa bekerja



Tiada sebab mengapa seorang ibu yang hamil perlu berhenti dari meneruskan kerjayanya. Benar, mereka perlu banyak berehat tetapi tidaklah sampai meletakkan jawatan hanya kerana masalah alahan. Sekiranya kehamilan anda berisiko rendah dan normal ditambah pula dengan persekitaran kerja yang selamat dan menyeronokkan jadi mengapa perlu anda mengundur diri.

Dianggarkan lebih 60-90 peratus wanita berhadapan dengan masalah loya atau mabuk sewaktu hamil. Malah keadaan itu akan berterusan biarpun berada di tempat kerja. Jika ia bukan kehamilan kali pertama, sudah pasti anda mengetahui sama anda tergolong di kalangan wanita yang mudah muntah dan tidak bertenaga atau sebaliknya.

Sekiranya ya, maka simpanlah beberapa jenis minyak angin, kain lap mulut atau makanan yang boleh mengurangkan masalah tersebut,. Beritahulah majikan mengenai kehamilan anda kerana di situ nanti akan ada budi bicara atau kelonggaran untuk anda.

Akan tetapi sesetengah ibu, kehamilan adalah sesuatu yang peribadi. Bagi mereka, ia terlalu istimewa untuk dikongsi bersama teman-teman mahupun saudara mara. Jadi, usah hairanlah jika ada yang mengunci mulut sewaktu soalan mengenai alahan atau usia kandungan diajukan kepada mereka. Berikut adalah beberapa tip yang perlu dipraktikkan bagi memastikan kehamilan anda sentiasa selamat meskipun terikat dengan jadual kerja yang padat:-

1. Sewaktu duduk menaip di hadapan komputer, pastikan kaki anda ditinggikan sedikit sama ada diletakkan di atas kotak ataupun bangku kecil yang dibawa dari rumah. Ia penting bagi mengelakkan masalah lenguh atau kejang.

2. Prihatin terhadap kasut yang digunakan. Pastikan ia selesa dan tidak menyakitkan. Mungkin anda boleh mengenakan stoking sendat atau jenis yang dikhaskan untuk ibu-ibu hamil.

3. Pakaian yang anda gunakan ke pejabat harus selesa. Benar, anda ingin mengikut perkembangan fesyen semasa tetapi jauhkan dari menyeksa diri dengan baju, skirt atau seluar yang sendat. Dewasa ini, semakin banyak pakaian hamil di pasaran jadi usah risau denganpenampilan anda selepas ini.

4. Kemajuan teknologi membuatkan manusia tidak lagi keseorangan. Di internet, terdapat pelbagai jenis informasi berkaitan kehamilan, begitu juga blog-blog yang dibina bagi memudahkan ibu-ibu ini berforum. Adanya kumpulan sokongan seperti ini maka tidak hairanlah anda menjadi lebih bersemangat danteruja untuk mengandung dan melahirkan.

5. Ingat, anda sedang hamil jadi banyak perkara yang membatasi pergerakan. Jika sebelum ini, anda mampu menghadap komputer dalam tempoh masa yang lama tetapi kali ini tidak lagi. Cuba ambil sedikit masa untuk berehat dari semasa ke semasa. Berdiri sebentar dan lakukan senaman regangan bagi melancarkan peredaran darah.

6. Banyakkan mengambil air suam sebagai minuman utama. Ia penting bagi mengelakkan anda keletihan dan masalah dehidrasi.

7. Bukanlah sesuatu yang membahyakan bagi ibu hamil yang bekerja di hadapan komputer,. Bagaimanapun, ia boleh mengundang risiko untuk mendapat 'sindrom'. Terowong karpus (kebas dan sakit di bahagian jari). Oleh itu, sebelum memulakan tugas, perhatikan persekitaran kerja terlebih dahulu. Ambil langkah berjaga-jaga untuk menyusun kerusi mahupun meja bekerja seselesa yang mungkin.

8. Jauhi individu yang merokok di pejabat anda. Ini kerana, asap rokok yang pasif berupaya menambah rasa mual dan mabuk ketika mengandung. Secara tidak langsung mengundang bahaya kepada anda serta bayi yang dikandung.

9. Tekanan sentiasa ada tetapi cubalah kurangkan. Mungkin dengan melakukan perkara-perkara yang anda gemari seperti berehat sebentar dari kerja sambil membaca blog kehamilan,  melakukan senaman pernafasan yang ringkas atau berjalan-jalan ke tempat rakan.

10. Masyarakat cukup prihatin dengan wanita-wanita yang hamil. Mungkin situasi ini juga berlaku di tempat kerja anda. Sekiranya ada tawaran bantuan daripada mereka maka terima sajalah. Sedarlah bahawa anda tidak sekuat sebelumnya. Anggap saja anda tergolong sebagai individu yang bertuah kerana dikelilingi teman-teman yang baik hati.

Sumber: Majalah Wanita Mac'13
Post a Comment