Monday, 24 March 2014

Buang racun dalam badan secara semulajadi

02:45 0 Comments
Badan kita mempu­nyai sistem semula jadi penyah toksik bertujuan menyingkir toksin (racun dalam badan) di dalam tubuh yang terhasil daripada makanan dan persekitaran.

Ada pelbagai perbahasan mengenai sistem semula jadi penyah toksik badan yang bertindak menghapuskan semua toksin apabila kita sering terdedah kepada pel­bagai kotoran dalam kehidupan seharian.


Ramai juga yang berang­gapan dengan membantu badan kita melakukan tugas semula jadinya, ia antara perkara penting untuk mengekalkan kesihatan fizikal.

Sembelit, buasir atau sakit perut antara tanda badan seseorang itu tidak lancar melakukan proses penyahtoksikan.

Selain ubat-ubatan yang diberikan doktor, sebenar­nya kita boleh menggunakan bahan semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai bahan pelawas bagi kelancaran proses penyahtoksikan.


  • Buah-buahan - Ia mempunyai kandungan cecair yang tinggi untuk membantu badan membuang toksin. Buah-buahan juga mudah dihadam dan mempunyai banyak antioksida, nutrien, serat dan vitamin penting.

  • Makanan hijau dan sayuran segar - Makanan hijau seperti saderi, bayam, sayuran berdaun hijau yang lain dan barli membantu meningkatkan klorofil dalam saluran penghadaman. Klorofil dapat membuang toksin berbahaya termasuk toksin logam berat, racun rumpai, racun daripada produk pembersih dan racun makhluk perosak.

  • Lemon, oren dan limau - Buah-buahan seperti limau membantu badan mengeluarkan toksin di saluran penghadaman dengan proses berenzim. Jus lemon juga membantu proses pembersihan atau penyaktoksikan hati.

    Bagi meningkatkan penyahtoksikan badan, setiap pagi mulakan hari dengan minum segelas air lemon suam kerana ia banyak mengandungi vitamin C yang membantu mengubah toksin menjadi bahan yang boleh dihadam.

  • Bawang putih - Bawang putih merangsang hati menghasilkan enzim penyahtoksikan bagi membantu menapis sisa toksin daripada sistem penghadaman.

    Menambah seulas bawang putih dalam makanan dapat membantu proses penyahtoksikan melalui diet.

  • Brokoli - Brokoli mengandungi antioksidan yang sangat tinggi. Ia juga merangsang pengeluaran enzim penyahtoksikan dalam saluran penghadaman.

  • Teh hijau - Teh hijau penuh dengan antioksidan terutama catechin yang mampu mengeluarkan toksin daripada sistem badan dan meningkatkan fungsi hati.

  • Kacang hijau - Kacang hijau sangat mudah dihadam dan ia mampu menyerap sisa toksin daripada dinding usus.

  • Bijirin dan kekacang yang mudah hadam - Antara bijirin dan kekacang yang mudah hadam termasuk kuaci (biji labu), kacang badam, walnut, bijan dan biji bunga matahari.

  • Minyak omega-3 - Minyak omega-3 juga membantu proses penyahtoksikan. Contoh terbaik ialah minyak avokado dan ­minyak zaitun dalam makanan yang dapat membantu melincirkan dinding usus sambil menyerap toksin daripada dinding usus untuk dikeluarkan daripada badan.

  • Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Buangracundalambadan/Article/





    Pengedar Sah Shaklee
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    COD AREA: Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras

    Thursday, 13 March 2014

    Memahami tidur bayi anda

    20:25 0 Comments

     

    Banyak manakah tidur yang diperlukan bayi?

    Bayi memerlukan lebih banyak tidur daripada orang dewasa semasa usia awal mereka. Secara purata, bayi bawah tiga bulan tidur dua kali lebih banyak daripada ibubapa mereka tetapi separuh itu dilakukan di siang hari.

    Namun, bayi muda tidak mengambil tidur ini dalam satu tempoh masa panjang, sebab mereka perlu bangun untuk makan. Sehingga tiga bulan, bayi tidur sepanjang hari mengikut satu kitaran tidur-bangun, dengan tempoh tidur yang lebih lama di waktu malam.

    Panjang kitaran ini amat berbeza antara bayi, tetapi secara purata, bayi anda akan tidur dalam blok dua jam di siang hari dan empat hingga enam jam di waktu malam. Dapatkan maklumat lanjut tentang banyak mana tidur diperlukan bayi anda.

    Apakah fasa-fasa tidur?

    Sama seperti kita dewasa, bayi melalui fasa-fasa tidur. Walaupun ramai kita merasakan kita tidur secara tidur mati, sebenarnya, kita tidak menjalani tidur nyenyak sepanjang malam, untuk bangun di waktu pagi.

    Sebaliknya, kita "berpusing" melalui beberapa peringkat tidur, yakni menurun dari fasa mengantuk masuk tidur ringan dan tidur mimpi, sebelum ke fasa tidur nyenyak. Setelah melalui semua ini kita kembali naik ke atas menerusi tidur mimpi dan tidur ringan hingga sampai ke permukaan tidur, sebelum menurun semula.

    Tidur mimpi juga dikenali sebagai tidur gerak mata cepat, atau REM (rapid eye movement). Bayi dan orang dewasa melalui kitaran tidur ini sebanyak lima kali sehari.

    Fasa-fasa tidur ini menjelma dalam bayi sebelum mereka dilahirkan. Bayi anda telahpun mengalami tidur mimpi semasa dia dalam uterus apabila anda mengandungkan dia enam atau tujuh bulan.

    Anda akan dapat melihat perbezaan antara tidur mimpi dan tidur bebas-mimpi yang dimanifestikan olehnya sekarang dengan mudah. Dalam tidur mimpi, anda boleh lihat matanya melompat ke depan dan ke belakang di bawah kelopak mata, manakala lain bahagian badan berdiam tetapi kadangkala berlaku sentakan, di samping pernafasan yang tidak teratur.

    Dalam tidur tanpa mimpi, atau tidur lena, bayi anda akan bernafas secara mendalam dan teratur, kadangkala dengan kelohan. Dia akan berbaring diam-diam, dengan melakukan gerakan kecil mulut menghisap atau tergeramang dengan tiba-tiba. Gerakan tergeramang keseluruhan badan secara tiba-tiba ini diberi nama kejutan hipnagogik dan adalah normal.

    Ia berlaku bagi kanak-kanak lebih tua dan orang dewasa juga, selalunya semasa anda baru nak lelap. Walaupun tidur diam tanpa mimpi sudah mantap dalam bayi baru lahir, ini berlaku untuk tempoh-tempoh singkat bukan secara terus-menerus seperti kanak-kanak tua dan orang dewasa. Semasa bulan pertama hidupnya, tidur diam menjadi semakin berterusan dan tergeramang juga akan hilang.

    Banyakkah bayi saya bermimpi?

    Bayi muda mempunyai lebih banyak tidur mimpi daripada orang dewasa. Mengikut pakar tidur AS, Dr Richard Ferber, bayi pramatang menghabiskan sekitar 80 peratus masa dalam tidur mimpi REM dan 50 peratus menjelang cukup bulan. Ini jatuh ke 33 peratus menjelang usia tiga tahun dan mencapai peringkat orang dewasa, iaitu 25 peratus menjelang 10 hingga 14 tahun.

    Tidur mimpi dianggap satu masa penting untuk membolehkan semua pengalaman kita difailkan, oleh itu, memang penting untuk bayi yang sedang membesar dan berkembang cepat.

    Bagaimanakah tidur bayi bertukar nanti?

    Antara tiga bulan dan setahun bayi anda akan tidur lebih banyak lagi di waktu malam dan semakin kurang di waktu siang. Pada tiga bulan secara purata, dia akan tidur dua kali lebih banyak di waktu malam berbanding siang.

    Tempoh tidur sekejap waktu siang akan menjadi lebih panjang dan kurang kerap menjelang enam bulan. Pada masa ini, kebanyakan bayi tidur 12 jam di waktu malam, dengan bangun sebentar hanya sekali-sekala dan di siang hari dia tidur dua kali selama satu atau dua jam.

    Menjelang 12 bulan kebanyakan bayi tidur sejumlah 12 hingga 14 jam, termasuk tidur siang sekali. Pada tahun berikutnya, tidur siang mungkin tiada lagi.

    Bagaimana saya boleh mengendalikan tidur siang bayi?

    Mengendalikan tidur siang bayi adalah penting untuk memupuk amalan tidur yang baik. Jika bayi anda tidur lewat pada siang hari ini akan menjejaskan tidurnya di waktu malam nanti. Sebabnya mungkin banyak daripada kerja "menfailkan" stimulasi bagi hari itu ke dalam mimpi bayi telah selesai dilakukan semasa tidur siang. Ini bermakna "bakul menfailkan" mimpi sudah agak kosong untuk tidur malam.

    Sebab itu wajar diaturkan tidur siang utama bayi awal di siang hari dan tengah hari, dan apabila bayi lebih tua, aturkan tidur siang utama dia sesudah sahaja makan tengah hari, untuk membolehkan jarak yang panjang untuk dia berjaga sebelum tidur malam. Dengan cara ini, dia mempunyai cukup masa untuk membina storan pengalaman baru untuk difailkan.

    Apakah ritma tidur natural bayi saya?

    Kebanyakan bayi secara fizikal mampu tidur sepanjang malam dari umur enam bulan, walaupun terdapat variasi besar antara bayi. Bayi baru lahir pun sudah pernah mengalami malam yang panjang dan sepi.

    Mereka telah lama mendengar bunyi-bunyian keluarga anda melalui dinding uterus (rahim) dua bulan sebelum dilahirkan. Jangan bimbang bising sehingga berjengket-jengket bergerak dalam rumah di siang hari, sebab bunyi-bunyian keluarga yang dikenali itu amat menenangkan bayi baru anda.

    Sama seperti anda, kitaran tidur-berjaga bayi anda ada kaitannya dengan ritma penyusuan hariannya, suhu badan dan pengeluaran hormon. Semua ini mempengaruhi kitaran biologi natural, atau ritma sirkadian, yang dilalui oleh badan kita setiap 24 jam. Kita tertidur apabila tahap hormon adrenal dan suhu jatuh, kemudian kita bangun dari tidur apabila tahap hormon dan suhu badan naik kembali.

    Sebenarnya agak susah untuk tidur apabila tahap hormon dan suhu badan kita tinggi dan sukar juga untuk bangun berjaga jika ianya rendah. Inilah sebabnya kita mendapat gangguan ritma harian apabila kita merentasi zon-zon waktu dengan penerbangan udara, dan mengapa pekerja syif perlu berlatih supaya dapat mengatasi keperluan waktu kerja mereka yang luarbiasa.

    Setengah individu lebih cekap mengatur ini dari lain, yang juga menjelaskan mengapa sebilangan ibu dan bapa mengalami lebih banyak masalah mengendalikan bayi yang bangun malam berbanding ibubapa lain.

    Apa kaitan penyusuan dan tidur?

    Sama seperti kita, bayi berusia lebih dari tiga bulan perlu mempelajari bagaimana menutupkan sistem pencernaan mereka di waktu malam dan belajar bangun untuk sarapan pagi pada masa yang sama setiap hari. Sistem mereka akan menjadi bercelaru jika mereka memang mengharapkan akan dapat sebotol susu untuk membantu tidur di waktu malam. Yang menenangkan mereka ialah menghisap, tetapi susu yang dimakan perlu dicernakan juga.

    Pendekatan yang lebih praktikal ialah untuk mula mengasingkan penyusuan daripada tidur pada usia lebih kurang tiga bulan. Jika anda menyusu badan, cuba berikan bayi anda penyusuan akhir lebih awal di malam hari, atau di permulaan rutin tidur.

    Jika anda menyusu botol, anda boleh mengurangkan jumlah formula yang diberikan semasa penyusuan akhir, dan menambahkan yang selebih itu kepada penyusuan di waktu siang. Pada masa sama, bayi boleh mula mempelajari tabiat tidur baru, seperti mandi, pakai pijama dan mendengar cerita atau lagu sebelum ditinggalkan untuk terlena dan tidur.

    Apa harus saya lakukan supaya bayi saya tidur dengan sendiri?

    Tentu tidak membantu jika anda berada bersama bayi semasa bayi mahu tidur, sebab dia akan asosiasikan anda dengan proses nak tidur. Ini bermakna dia akan mengharapkan kehadiran anda setiap kali dia naik semula ke permulaan pusingan kitaran tidur - jangan lupa jumlahnya lima kali!

    Oleh itu, beri ciuman selamat malam dan tinggalkan bilik. Jika perlu, jenguk masuk sekali-sekala dan sebut-sebutkan kata-kata tenang dan tepuk-tepukkan dia sehingga dia terus terlena.

    Sumber: http://www.babycenter.com.my/a1045904/memahami-tidur-bayi-anda#ixzz2vtnAqYNn





    Pengedar Sah Shaklee
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    COD AREA: Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras

    Bagaimana menyediakan makanan bayi secara selamat?

    17:39 0 Comments

    Mengapakah kebersihan makanan penting ketika menyediakan makanan bayi?


    Kebersihan dan kesegaran makanan adalah penting apabila bayi anda mula mengambil makanan pejal. Ini kerana, sistem pertahanan badan (sistem imun) bayi masih belum sempurna, tidak seperti orang dewasa. Perut mereka mudah diserang kuman dan jangkitan.

    Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa waktu terbaik memperkenalkan makanan pejal kepada bayi ialah ketika usianya enam bulan. Sterilkan sudu dan cuci mangkuk dan peralatan yang digunakan untuk memberi bayi makan dalam air yang sangat panas. Gunakan kain pengelap yang bersih atau tuala kertas untuk mengeringkannya.

    Apakah tahap kebersihan yang perlu saya amalkan apabila menyediakan makanan bayi?


    Anda tidak perlu mensterilkan keseluruhan dapur anda, namun adalah wajar untuk anda mengikuti panduan-panduan kebersihan berikut:

    • Basuh tangan anda dengan bersih sebelum anda menyediakan hidangan untuk bayi anda.
    • Cuci kerusi tinggi bayi, bib dan tempat makan dengan air sabun yang panas.
    • Jika bayi anda menggunakan tangannya untuk makan, cuci tangannya sebelum dia makan.
    • Tukar tuala dan kain pengelap dapur dengan kerap.

    Bagimanakah saya boleh menghidangkan makanan bayi dengan selamat?


    Apabila memanaskan makanan bayi, pastikan ia benar-benar panas keseluruhannya. Anda sepatutnya boleh lihat wasap keluar daripadanya. Biarkan makanan itu sejuk sebelum memberikannya kepada bayi anda. Letakkan sedikit di pergelangan tangan anda untuk memeriksa samada suhunya sesuai untuk diberi kepada bayi anda.

    Ingatlah juga tip-tip berikut:
    • Jika anda menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk memanaskan makanan, kacau makanan supaya ia panas dengan sempurna.
    • Jangan panaskan makanan bayi lebih daripada sekali.
    • Masak telur sehingga benar-benar keras.
    • Masak daging sehingga bahagian tengahnya sudah tidak berwarna kemerahan.
    • Jika anda menggunakan makanan yang disejuk bekukan, nyahbekukan sepenuhnya sebelum anda memasaknya, kecuali dinyatakan sebaliknya pada pakejnya. Jangan sekali-kali bekukan sesuatu yang telah dinyahbekukan.

    Bagaimana cara menyimpan makanan bayi dengan selamat?


    Ikutilah tip-tip berikut untuk memastikan makanan bayi anda disimpan dengan selamat:
    • Jika anda menyediakan makanan bayi dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan, sejukkannya dengan segera dan simpan dalam peti sejuk. Sejuk bekukan mana-mana makanan yang tidak akan diguna dalam masa 24 jam.
    • Jika bayi anda tidak habis makan, buang sisa makanan tersebut. Makanan yang telah terkena air liur mengandungi bakteria yang akan berganda jika disimpan.
    • Semak tarikh luput makanan. Jika ada lebihan makanan dalam botol yang telah dibuka, anda boleh simpan dalam peti sejuk selama 24 jam. Walau bagaimanapun, buang lebihan makanan yang telahpun dipanaskan sekali, serta botol di mana makanan di dalamnya telah disuap kepada bayi anda.
    • Periksa suhu peti sejuk anda. Ia sepatutnya berada di antara kosong dan lima darjah Celcius. Belilah termometer peti sejuk jika anda belum mempunyainya.
    Sumber:
    http://www.babycenter.com.my/a1033500/bagaimana-menyediakan-makanan-bayi-secara-selamat#ixzz2vtK1NE6c






    Pengedar Sah Shaklee
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    COD AREA: Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras

    Cara Menangani Ketika Anak Tercekik

    17:36 0 Comments


    Pengenalan

    Tercekik adalah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak. Saluran pernafasan dan tenggorok yang sempit menyebabkan mereka berisiko untuk tercekik.
    Ketika tercekik, salur pernafasan dan tenggorok yang tertutup akan menghalang oksigen ke paru-paru dan seterusnya ke otak. Ini akan menyebabkan kematian. Sebarang objek bersaiz kecil boleh menyebabkan tercekik. Ini termasuklah bahan makanan, perkakasan rumah dan alat permainan.


    Apakah tanda-tanda seseorang itu tercekik

    Kanak-kanak mungkin akan mengalami:
    • Sesak nafas secara tiba-tiba.
    • Bunyi nafas tidak normal (bunyi seperti siulan).
    • Menggenggam kerongkong.
    • Kawasan mulut dan bibir kebiru-biruan.
    • Bernafas dengan cepat.
    • Lubang hidung kembang-kempis setiap kali bernafas.
    • Pengsan.
    • Berhenti bernafas.
    Kadang kala kanak-kanak akan tersedak (seperti kacang tanah) jika objek tersebut sangat kecil. Mereka akan mengalami :
    • Batuk yang berterusan.
    • Termengah-mengah.
    • Tiada apa-apa tanda.
    Komplikasi
    • Jangkitan pada paru-paru seperti radang paru-paru.
    • Kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.
    • Kematian akibat radang/ bengkak paru-paru yang teruk atau kekurangan oksigen ke otak.
    Apakah yang perlu dilakukan jika anak anda tercekik?

    Langkah-langkah jika anak anda tercekik :
    1. LAKUKAN :
      • Tunggu sehingga mangsa batuk.
      • Minta bantuan.
      • Buka mulut anak anda perlahan-lahan - keluarkan objek jika jelas kelihatan.
      • Jika tidak berjaya, tepuk di antara tulang belikat mangsa dengan tapak tangan anda dengan kedudukan kepala mangsa lebih rendah dari badan.
    1. JANGAN :
      • Masukkan jari anda ke dalam mulut mangsa.
      • Mendongakkan kepala mangsa.
    Jika mangsa berhenti bernafas, pengsan dan badan menjadi biru, segera lakukan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR) sementara menunggu bantuan pakar.

    BAGI KANAK-KANAK DEWASA
    • Bantu kanak-kanak untuk berdiri jika mereka masih sedar.
    • Posisikan badan anda di belakang mereka.
    • Lakukan Heimlich manouvre.
    Jika kanak-kanak pengsan laksanakan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR).
    Langkah-langkah pencegahan :
    • Jangan benarkan anak anda makan ketika bermain.
    • Sediakan makanan dalam bentuk saiz kunyahan.
    • Pastikan lantai, meja dan tempat mereka bermain bebas dari objek-objek yang kecil seperti butang, guli, duit syiling, pin dan manik-manik.
    • Elakkan makanan yang mudah tercekik bagi kanak-kanak seperti kacang tanah, gula-gula dan bertih jagung.
    • Elakkan memberi alat permainan yang mempunyai bahagian-bahagian yang kecil kepada kanak-kanak.
    • Pelajari bantuan kecemasan dan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak anda tercekik.

    Sumber: http://www.myhealth.gov.my/index.php/bayikanak-kanak/kecederaan-kemalangan-a-keracunan/tercekik





    Pengedar Sah Shaklee
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    COD AREA: Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras

    Kalsium sangat PENTING bagi IBU HAMIL dan IBU MENYUSU !!!

    00:25 0 Comments




    MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

    Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

    Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

    Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

    Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

    “Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

    Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

    Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

    “Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

    Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

    Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

    MINUM banyak susu dapat menambah bekalan kalsium ibu hamil.

    Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

    Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

    Berpantang

    “Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

    “Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

    Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

    Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

    Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.


    TULANG rapuh disebabkan kalsium di dalamnya telah diserap oleh tubuh.

    “Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

    “Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

    Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.

    Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

    “Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.

    Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz2vnj9bD4L





    Pengedar Sah Shaklee
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    COD AREA: Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras

    Wanita juga mempunyai risiko PENYAKIT JANTUNG !!!

    00:15 0 Comments


    SALAH satu tanggapan yang perlu diubah oleh wanita adalah penyakit jantung hanya berlaku kepada kaum lelaki.

    Golongan Hawa perlu menyedari bahawa kajian daripada Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia menunjukkan penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu wanita Malaysia dengan kematian disebabkannya adalah dua setengah kali ganda lebih kerap berbanding semua jenis kanser.

    Konsultan Kardiologi, Dr. Lim Bee Chian berkata, purata kematian wanita Malaysia yang meninggal dunia disebabkan penyakit jantung sangat tinggi dan semakin meningkat setiap tahun.

    Sebanyak 34 peratus wanita di Malaysia mempunyai penyakit jantung. Mereka yang berumur lebih 25 tahun lebih berisiko berikutan amalan gaya hidup yang tidak seimbang. Wanita yang berumur 40 hingga 60 tahun dan telah menopaus juga berisiko tinggi menghidap penyakit jantung.

    Kajian juga menunjukkan sebanyak 66,000 orang telah meninggal dunia disebabkan penyakit jantung dengan 54 peratus peratus adalah wanita dan 46 peratus lelaki.

    Kajian oleh Persatuan Jantung Sedunia juga menunjukkan sebanyak 64 peratus wanita telah meninggal dunia secara tiba-tiba tanpa mempunyai simptom-simptom penyakit tersebut.

    "Walaupun individu tersebut tidak mempunyai simptom, itu bukan bermakna beliau tidak mempunyai risiko menghidap penyakit jantung," katanya.

    Tambah Dr. Bee Chian lagi, memandangkan wanita adalah tunggak kepada sebuah keluarga dalam memastikan segala urusan harian berjalan lancar, beberapa faktor penting menyebabkan mereka terdorong mendapat penyakit jantung berbanding lelaki.

    Katanya, wanita apabila berkahwin dan mempunyai anak, mereka merupakan insan yang sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keperluan keluarganya.

    "Dalam pada masa yang sama mereka terlupa untuk memberi perhatian kepada kesihatan mereka sendiri. Jika mereka mendapat sakit seperti simptom penyakit jantung mereka tidak mengambil serius terhadap kesakitan yang dialami kerana kurang kesedaran tentang penyakit tersebut.

    Mereka hanya akan datang berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan selanjutnya apabila kesakitan yang dihadapi sudah tidak terkawal, seperti seringkali merasai denyutan jantung yang tidak normal, yang menyebabkan mereka pengsan secara tiba-tiba," katanya.

    Menurut Dr. Bee Chian lagi, wanita perlu lebih prihatin tahap kesihatan mereka dan mengetahui simptom-simptom penyakit jantung seperti merasai sakit dada yang menekan sehingga ke paras dada dan mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

    Mereka yang mempunyai simptom-simptom ini perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
    "Rawatan dan diagnosis awal boleh mencegah penyakit tersebut menyerang sekali gus menyelamatkan nyawa mereka.

    Terdapat banyak cara untuk mengurangkan peluang-peluang mendapat penyakit jantung. Antaranya, mengawal tekanan darah, selalu bersenam, berhenti merokok, jalankan pemeriksaan kencing manis, periksa tahap kolesterol dan banyak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya.

    Sumber: Utusan Malaysia bertarikh 11/03/2014 (Ruang Kesihatan)




    Pengedar Sah Shaklee
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    COD AREA: Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras

    Cuaca Panas Mengundang Pelbagai Penyakit

    00:11 0 Comments


    PELUH mula membasahi baju wanita itu yang berniaga menjual kuih-muih di gerainya tatkala terik mentari memancar. Walaupun cuaca panas dengan suhu mencecah 36 darjah Celsius, tidak menghalangnya untuk meneruskan rutin harian melayan pelanggan yang ingin membeli kuih-muihnya. Ada pelanggan gerai tersebut yang mengusap peluh di dahi, ada pula yang membeli sambil memegang payung dan ada yang segera berteduh di bawah pokok selepas selesai membeli kuih. Suasana itu mungkin biasa dilihat di tempat-tempat lain memandangkan cuaca panas luar biasa sedang melanda beberapa negeri di Malaysia. Cuaca panas melampau ini mendatangkan suasana tidak selesa dalam masyarakat negara ini. Lebih buruk lagi apabila beberapa kawasan sudah dikenal pasti akan dilanda kemarau sekiranya paras air di beberapa empangan tidak kembali ke paras normal.

    Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kira-kira 30 juta rakyat Malaysia kini terdedah dengan bahaya serangan strok haba yang boleh membawa maut berpunca daripada cuaca panas dan kering yang berterusan hampir sebulan lalu.

    Beliau menjelaskan, antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi pantas.
    Suhu tinggi mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

    Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan perubahan cuaca ekstrem ketika ini kerana dikhuatiri menyebabkan peningkatan kes demam, batuk dan lain-lain.

    Peningkatan masalah kesihatan

    Menurut Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pakar DEMC, Shah Alam, Dr. Zal Abdul Rahim, perubahan cuaca mendadak boleh mengakibatkan peningkatan masalah kesihatan khususnya sistem pernafasan.
    Cuaca panas berpanjangan juga boleh menyebabkan selaran matahari, ruam panas, kejang otot, mual, muntah, strok haba, dehidrasi, pitam, halusinasi dan maut.

    "Perubahan cuaca yang sejuk beberapa minggu lalu menjadi panas terik pula sekarang boleh menyebabkan peningkatan kes demam, batuk, lelah dan lain-lain penyakit berkaitan perubahan iklim," katanya.

    Mengulas tentang strok haba, Dr. Zal memberitahu, strok haba bermakna paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah Celsius dan suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah Celsius.

    "Simptom awal strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. Pesakit juga akan mengalami otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," ujarnya.

    Selain itu, cuaca panas melampau juga boleh memberi masalah kepada kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

    Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menyatakan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.
    Sementara itu, pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas di samping kurang minum air dan dehidrasi badan juga boleh menyebabkan strok haba.

    Pencegahan

    "Mencegah lebih baik daripada mengubati terutamanya untuk mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi. Kumpulan ini dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan melakukan langkah-langkah pencegahan. Apa yang penting ialah menjaga suhu badan normal, memastikan kekal hidrat serta mendapatkan maklumat yang tepat," katanya.

    Apabila berdepan dengan musim panas yang melampau seperti sekarang, golongan yang berisiko digalakkan berada di dalam rumah atau bangunan, lebih baik dengan kemudahan alat pendingin hawa.

    Hadkan aktiviti luar semasa awal pagi dan lewat petang sahaja kerana ia kurang merbahaya dan kurang panas serta berehat dengan kerap sekiranya terdedah kepada pancaran matahari.

    Lakukan langkah pencegahan seperti memakai topi atau payung yang besar dan pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang serta longgar.

    Jangan lupa memakai krim pelindung matahari yang mempunyai SPF 15 atau lebih 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari untuk mengelakkan sinaran UVA dan UVB dan gunakan secara berterusan.

    Sentiasa mengamalkan konsep pusingan kerja dan rehat seperti yang dicadangkan terutama mereka yang bekerja di bawah terik matahari.

    Kita sebenarnya boleh menyesuaikan badan dengan suhu yang panas daripada biasa dengan cara mengehadkan aktiviti luar secara berperingkat sehingga badan dapat mengadaptasi dengan cuaca panas tersebut.

    Elakkan makanan yang pedas dan kuantiti yang banyak, kerana ini akan menyebabkan suhu badan naik, berpeluh dan kehilangan cecair badan.

    Dalam pada itu, Dr. Zal berkata, musim panas ini memerlukan kita minum air yang banyak bagi mengembalikan kelembapan badan kerana kita kehilangan cecair badan melalui peluh dan mudah menjadi kering.

    "Jika melakukan aktiviti fizikal di bawah panas terik, minum air dua hingga empat cawan setiap jam tanpa mengira tahap aktiviti anda.

    "Jangan minum minuman berkafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi, kerana boleh mempengaruhi fisiologi badan dan menyebab kita kehilangan cecair badan," katanya.


    Sumber: http://splashurl.com/qhhezma © Utusan Melayu (M) Bhd

    ====================================
    Cadangan Suplemen yang sesuai di musim panas
    ====================================

    Performance Drink : Mengekalkan bendalir dalam badan supaya tidak dihidrasi.
    Nutriferon : Mengukuhkan sistem imun dalam masa 3 hari.
    Vitamin C : Meningkatkan sistem imun dengan membina sel darah merah, membantu sel darah putih menentang bakteria, mengurangkan simptom flu dan selsema

    Untuk Info Produk/Order:
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    hidayahmohamad83@gmail.com

    Tuesday, 11 March 2014

    Mengantuk Selepas Makan?

    23:41 0 Comments

    Hari ni saya nak share tentang cara mengatasi mengantuk selepas makan. Haaa.. semua orang memang mengalami masalah sebegini kan? Tiap kali selepas makan je nak buat keje pun dah rasa malas. Mood "mengantuk" sudah mari..hihihi..

    Jom kita tgk beberapa perkara untuk mengatasi mengantuk selepas makan:
    1. Banyakkan bergerak. Rasa mengantuk sukar dihindarkan apabila terlalu lama duduk di depan komputer, apatah lagi jika perut kenyang. Jalan cepat atau lebih baik, menaiki tangga (dua ke tiga tingkat) sehingga terasa degupan jantung menjadi pantas. Senaman ringkas ini memberi tenaga kepada anda dan ia disimpan dalam memori badan sebagai aktiviti cergas yang boleh disambung selepas balik daripada kerja. Jika tidak pun, lakukan senaman regangan di pejabat. 
    2. Minum air kosong. Mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap tafsir keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar. Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan air hingga satu peringkat tertentu.
    3. Tidur sekejap selama 10 hingga 15 minit. Kajian menunjukkan tidur sekejap bukan saja boleh mengatasi masalah mengantuk pada waktu petang, tetapi membuat kita segar dan mampu memberi tumpuan lebih baik ketika melakukan kerja.
    4. Makan sedikit, sama ada untuk sarapan, makan tengah hari atau malam. Usah makan hingga terlalu kenyang, tidak kira berapa sedap pun makanan yang terhidang. Jika anda banyak makan, badan terpaksa menggunakan lebih tenaga untuk pencernaan. Ini bermakna lebih banyak darah perlu disalurkan ke usus dan bekalan oksigen ke otak akan berkurangan. Ini antara punca menyebabkan anda berasa lemah dan mengantuk. Makan sedikit tetapi kerap. Kaedah ini membekalkan badan dengan tenaga dan membantu usus berfungsi dengan lebih baik kerana tidak perlu bekerja keras mencerna kuantiti makanan yang banyak pada satu-satu masa.
    5. Pilih sumber makanan berbeza. Bawa snek seperti biskut kraker yang rendah lemak. Biasanya biskut kraker mengandungi karbohidrat yang mudah diproses untuk memberi tenaga segera. Buah-buahan juga baik untuk dijadikan snek penghilang rasa mengantuk.
    6. Jangan makan gula-gula atau minum minuman manis, termasuk kopi. Ia tidak membantu menghilangkan rasa mengantuk, malah mungkin membuat masalah anda bertambah teruk. Kajian penyelidik di Universiti Manchester menunjukkan kandungan gula dalam makanan (glukos) boleh menghentikan sel otak daripada menghasilkan isyarat yang membuatkan kita berjaga. 

    Sumber : http://ilmukita-komputerdll.blogspot.com/2010/07/petua-mengatasi-rasa-mengantuk-selepas.html#



    Pengedar Sah Shaklee
    Hidayah Mohamad
    019-983 5090
    COD AREA: Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras